Minggu, 31 Mei 2009

the power of al-fatihah

Setelah runtuhnya empayar Islam, peradaban Islam semakin mundur dan mengalami kemerosotan sehingga telah berjaya diperkotak-katikkan oleh lain-lain peradaban. Lantaran itu, masyarakat Islam terus menerus mengalami sindrom tidak berupaya mengharungi asakan pemodenan Barat, malah setiap tindak-tanduknya telah menyimpang daripada matlamat asal ajaran Islam.

Dengan membandingkan pendapat Imam al-Ghazali melalui Ihya Ulum ad-Din dan kualiti umat Islam pada abad ke-21, pengarang berpendapat kualiti masyarakat Muslim “masih tetap buruk, tidak lebih baik daripada mutu kaum Muslimin yang hidup zaman al-Ghazali pada abad ke-12. Itulah bukti bahawa selama hampir 900 tahun kualiti kaum Muslimin sekarang ini tidak pernah mengalami perubahan secara mendasar. Pantas kaum Muslimin terus menerus terdesak oleh bangsa Eropah dan kini bangsa Amerika atau Barat dan sekutunya yang secara konstan terus berusaha memperbaiki diri dan dekadensi mereka.”

Berlandaskan kesimpulan itu maka pengarang mengajak setiap umat Islam untuk berfikir untuk mencari jalan bagaimana membangunkan kembali peradaban Islam berasaskan sejarah dan ajaran al-Quran agar tidak terus menjadi sebahagian daripada peradaban tersebut.

Umat Islam diminta supaya kembali kepada asas dan hikmat yang terkandung dalam surah al-Fatihah. Surah yang mengandungi hanya tujuh ayat itu mempunyai kekuatan yang merangkumi keseluruhan makna al-Quran, kerana ia adalah umm a-Kitab. Menurut sesetengah ulama, walaupun surah al-fatihah hanya mengandungi tujuh ayat, ia merupakan rumusan kesemua isi kandungan al-Quran. Lantaran itulah surah al-Fatihah adalah bacaan wajib bagi setiap umat Islam tatkala mengerjakan solat, lima waktu sehari semalam.

Solat dikatakan tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Dan setiap hari setiap orang muslim akan membaca sebanyak 17 kali, kerana sembahyang lima waktu itu kesemuanya berjumlah 17 rakaat.

Pengarang buku ini bukan sahaja melihat kekuatan al-Fatihah sekadar bacaan wajib dalam solat, ia cuba merungkaikan semangat al-Fatihah sebagai unsur kekuatan diri setiap muslim. Al-Fatihah mempunyai dua dimensi, iaitu dimensi ketuhanan dan dimensi kemanusiaan.

Dimensi ketuhanan terkandung dalam ayat 1 hingga awal ayat ke-5. Ia syarat dengan pengertian “yang berkaitan dengan keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. Bahkan sejak ayat pertama, Bissmillahi ar-Rahman ar-Rahim, kita diajak menyerap makna kata-kata Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim.” Tiga perkataan itu adalah “tiga sifat mulia atau asma husna Tuhan tercakup dalam satu ayat.” (hal. 218)

Sepanjang ayat-ayat tersebut, terdapat empt sifat Tuhan yang utama, iaitu Allah, ar-Rahman, ar-Rahim dan al-Malik. Pengertian mengenai dua sifat Allah itu jika dihubungkan dengan lain-lain perkataan ia menggambarkan kekuasaan, tempat kita meminta tolong (Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Kuasa dan Maha Sempurna), tempat kita berasal (janin), dan Zat yang mewujudkan. Pengertiannya bergantung kepada bagaimana perkataan-perkataan itu digunakan.

Dalam dimensi kemanusiaan, bermula bahagian kedua ayat ke-5 hingga ke-7, menurut pengarang “apabila kita memahaminya secara cermat, dasar kepercayaan orang seperti itu adalah tauhid, monoteisme. Semua masalah manusia Muslim, baik yang berhubungan dengan kepercayaan, moral dan pendidikan atau ibadah sehari-hari, semuanya bersifat monteistis secara alamiah kerana setiap tindakannya sentiasa beorientasi kepada tauhid, kepada keesaan Tuhan.” (hal. 254)

Pengarang menggunakan pendekatan yang dibuat oleh Toshihiko Izutsu berdasarkan pemilihan istilah-istilah yang terdapat dalam al-Quran. Beliau menganalisis secara semantik terhadap istilah-istilah tersebut dan kemudiannya menghubungkan konsep-konsep tersebut ke dalam satu kesatuan. (hal. 257) Dengan mengkaji perkataan ‘insan’ yang terdapat dalam al-Quran, manusia dikelompokkan ke dalam tiga kategori, iaitu sebagai khalifah (pemikul amanah), sifat negatif diri manusia dan proses penciptaan manusia.

Dalam ketegori pertama, manusia dikatakan berada dalam keistimewaan dan berbeza dengan haiwan. Manusia merupakan makhluk yang diberikan ilmu (berfikir, merenung, mengkaji, membaca, menganalisis dan mempelajari). Kerana itulah manusia dihubungkan sebagai khalifah dan diberikan tanggungjawab. Tanggungjawabnya ialah memikul amanah (menemukan hukum alam, menguasai, menggunakan inisiatif dan mencipta kehidupan yang lebih baik).

Insan yang dhubungkan dengan posisi negatif ialah bersifat resah, gelisah, segan membantu, ditakdirkan hidup susah dan menderita, tidak berterima kasih, meragukan hari akhirat dan berbuat dosa. Mereka inilah akhirnya menjadi manusia yang pasif dan terlalu berserah tanpa beriktiar melaksanakan perubahan ke atas nasib yang menimpa dirinya.

Manusia yang memikul amanah dihubungkan dengan perasaan tanggungjawab dan sentiasa menyembah Allah. Hasil penelitian itu Izutsu membuat kesimpulan bahawa manusia sebagai “makhluk biologis, psikologis dan sosial.“ (hal. 261)

Sebagai paradigma pembentukan peradaban berdasarkan falsafah al-Fatihah, pengarang membincangkan lima (5) faktor utama, iaitu bertauhid, mempercayai janji dan berita gembira, beribadah, menempuh jalan yang lurus dan meneladani sejarah. Dengan bertauhid, manusia diberi peluang untuk “memilih dan membuat keputusan untuk kebahagiaan hidup di dunia ini dan menuju kebahagiaan di hari akhirat.” (hal. 278)

Mempercayai janji dan berita gembira ialah “meyakini bahawa ia akan diganjar (dibalas) apabila melakukan perbuatan baik.” Beribadah menurut pengertian dalam surah al-Fatihah ialah “meniupkan roh ibadah kepada seseorang yang merenungkannnya. Yang dimaksudkan ruh ibadah adalah suasana hati yang selalu diliputi rasa takut kepada Allah dan harapan pada kurnia-Nya.” (hal. 281)

Menempuh jalan yang lurus “adalah jalan yang, kalau ditempuh, akan membahagiakan manusia dan kalau dijauhi, akan mencelakakannya… Untuk menempuh jalan yang lurus, manusia memerlukan petunjuk (hidayah). Itu sebabnya kita sentiasa berdoa, memohon diberikan hidayah oleh Allah… Kita memang diberikan kemampuan akal.” (hal. 282-283)

Mempelajari daripada sejarah, “mengambil pelajaran dan meneladani kisah-kisah tentang orang-orang yang menepati aturan-aturan Allah dan melaksanakan hukum-hukum agama-Nya, serta tidak mencontoh cerita-cerita orang-orang yang melanggar aturan-aturan-Nya dan tidak mahu mengindahkan hukum-hukum agama-Nya. Kisah-kisah ini diungkapkan agar manusia dapt mengambil pelajaran, memlihi jalan orang-orang baik, dan agar mengetahui kepastian Allah terhadap manusia.” (hal. 283)

Orang yang dapat membentuk peradaban yang salam ialah mereka yang telah melalui iman, Islam dan ihsan. Bagi pengarang, mereka adalah “pembawa panji-panji gerakan reformasi yang ditegakkan oleh Rasullullah s.a.w. Untuk membangunkan kehidupan manusia dan membawanya ke dalam keserasian dengan bimbingan Ilahi. Orang-orang seperti ini menjadi guru pengingat bagi manusia, yang mengingatkan mereka akan erti sebenarnya dari kepasrahan manusia kepada kehendak Allah.” (hal. 295)

Keseluruhan buku ini menarik dan penuh dengan gagasan membaiki kelemahan diri. Menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji dan meneliti keluasan makna yang terkandung dalam surah al-Fatihah ini. Adalah menjadi satu kerugian jika kita tidak mengambil bahagian cergas menghayati kekuatan surah al-fatihah ini, dan pengarang sebenarnya telah berjaya mengungkapkannya sebagai platform dalam pembinaan Islam Hadhari.

Kita masih mempunyai peluang, kerana usia alam semesta ini belum berakhir. Kita sepatutnya memberikan penghargaan khusus kepada pengarang kerana mampu membincangkan pengertian al-Fatihah dalam bentuk yang lebih luas, bukan hanya sekadar merungkaikan keperluan diri seseorang, tetapi juga aspek kemasyarakatan melalui pembentukan sebuah peradaban salam.